Tuesday 29 March 2011

Kuiz - Kontrak

Soalan.

Ali menawarkan kereta terpakai kepada Ahmad dengan harga Rm20,000.00. Ahmad menyatakan yang dia akan menerima tawaran tersebut hanya jika Ali berjanji untuk menanggung kos pembaikan kereta tersebut untuk tempoh 6 bulan pertama. Ali tidak bersetuju. Ahmad kemudiannya membuat penerimaan kepada tawaran asal Ali tanpa sebarang syarat. Malangnya Ali ketika ini tidak lagi mahu menjual kereta tersebut kepada Ahmad. Nasihatkan Ali samada dia terikat untuk menjual kereta tersebut kerana Ahmad mendakwa kontrak telah wujud di antara mereka.

Jawapan Pelajar

Persoalan yang timbul daripada fakta kes ini ialah samada wujud kontrak di antara mereka.

Dalam merungkai pertikaian ini. Ali perlu memperhalusi elemen-elemen penting dalam pembentukan kontrak.
Elemen-elemen yang perlu diberi perhatian ialah:-

1) Cadangan
2) Penerimaan
3) Balasan
4) Niat untuk berkontrak

Cadangan
Perhatian kepada Seksyen 2 (a) Akta Kontrak - Cadangan dibuat apabila seseorang menyatakan kesediaannya kepada seseorang yang lain untuk melakukan sesuatu atau menahan diri dari melakukan sesuatu, dengan maksud untuk memperolehi persetujuan orang itu untuk berbuat sesuatu atau menahan diri dari berbuat sesuatu.

Fakta kes menunjukkan Ali telah menyatakan kesediaannya untuk menjual kereta terpakai kepada  Ahmad dan beliau berharap Ahmad akan menerima tawaran tersebut. 

Kesimpulannya  ialah tawaran sah apabila Ali telah bertindak sebagai pembuat janji, menawarkan kereta terpakai kepada Ahmad dengan harga RM20,000.00.

Penerimaan
Perhatian kepada seksyen 7(a) Akta Kontrak - Penerimaan itu mestilah mutlak dan tidak bersyarat.

Fakta kes menunjukkan Ahmad telah menyatakan kesediaanya untuk menerima tawaran tersebut hanya jika Ali berjanji untuk menanggung kos pembaikan kereta tersebut untuk tempoh 6 bulan pertama.

Kesimpulannya ialah penerimaan tidak sah kerana penerimaan yang disampaikan oleh Ahmad kepada Ali  adalah penerimaan bersyarat dan ini tidak mematuhi Seksyen 7(a) Akta Kontrak - penerimaan  mestilah mutlak dan tidak bersyarat.

Cadangan balas
Perhatian kepada prinsip yang di bentuk dalam undang-undang kes - Hyde lawan Wrench di mana Hakim memutuskan bahawa penerimaan bersyarat bertindak sebagai penolakan dan penamatan tawaran asal dan seterusnya membentuk cadangan balas.

Fakta kes menunjukkan Ahmad membuat penerimaan bersyarat apabila mengenakan syarat "menanggung kos pembaikan kenderaan selama 6 bulan" yang sebenarnya membentuk tawaran balas dari Ahmad kepada Ali. 

Kesimpulan yang boleh dibuat ialah kini Ahmad pula bertindak sebagai pembuat janji dan telah membuat cadangan balas yang sah.

Penerimaan kepada cadangan balas
Perhatian kepada seksyen 2(b) Akta Kontrak - Penerimaan  berlaku apabila orang kepada sesiapa cadangan itu dibuat menyatakan bahawa cadangan itu diterima. Kini terpulanglah kepada Ali samada menerima atau tidak tawaran balas tersebut. Jika Ali menerima cadangan balas tersebut maka Ali bertindak sebagai penerima janji dan wujud lah penerimaan yang sah.

Fakta kes membuktikan Ali tidak bersetuju dengan cadangan balas yang dibuat oleh Ahmad.

Kesimpulannya ialah tidak wujud sebarang penerimaan oleh Ali kepada cadangan balas tersebut dan dengan itu perjanjian atau kontrak masih tidak wujud.

Penerimaan semula kepada tawaran asal
Perhatian semula kepada undang-undang kes Hyde lawan Wrench.

Fakta kes - Setelah Ahmad gagal untuk mendapatkan persetujuan Ali bagi cadangan balasnya, Ahmad cuba membuat penerimaan tanpa syarat kepada cadangan Ali yang asal.

Kesimpulannya ialah Ahmad tidak lagi boleh membuat penerimaan kepada cadangan yang asal kerana penerimaan bersyarat yang telah dibuat olehnya terdahulu merupakan penolakan kepada tawaran asal dan dengan itu telah menamatkannya. Dengan kata lain, penerimaan tidak boleh dibuat apabila tawaran telah tamat.

Balasan
Perhatian kepada Seksyen 10 (1) Akta Kontrak - Semua perjanjian adalah kontrak jika dibuat atas kerelaan bebas oleh pihak yang layak membuat kontrak untuk sesuatu balasan yang sah dan 

Seksyen 24 Akta Kontrak - Balasan yang tidak sah disisi undang-undang ialah balasan yang:-
  • dilarang oleh undang-undang
  • mengecewakan peruntukan mana-mana undang-undang
  • merupakan frod
  • mendatangkan bencana kepada diri atau harta orang lain
  • tak bermoral
    Fakta kes menunjukkan balasan bagi janji ini oleh Ali ialah kereta terpakai dan oleh Ahmad ialah bayaran berjumlah RM20,000.00


    Kesimpulan ialah wujudnya balasan dan balasan tersebut adalah balasan yang sah dan tidak terdapat fakta lain menunjukkan terdapatnya perkara-perkara yang boleh mengakibatkan balasan tersebut menjadi balasan yang tidak sah disisi undang-undang.

    Niat
    Perhatian kepada undang-undang kes Rose & Frank Co v JR Crompton & Bros Ltd [1924] UKHL 2 dan Carlil lwn Carbolic Smoke Ball Co. yang mana telah menetapkan bahawa niat merupakan suatu elemen yang sangat penting di dalam pembentukan kontrak. Dalam common law, andaian awal bagi perjanjian yang melibatkan urusan keluarga dan sosial ialah pihak-pihak tidak berniat untuk terikat kepada kontrak dan bagi perjanjian melibatkan urusan perniagaan ialah pihak-pihak berniat untuk terikat di bawah kontrak melainkan dapat dibuktikan sebaliknya.
    Fakta kes - Urusan Ali dan Ahmad adalah urusan perniagaan iaitu jual beli kenderaan.

    Kesimpulannya ialah wujud niat oleh Ali dan Ahmad untuk membentuk ikatan kontrak di antara mereka kerana perjanjian yang ingin diwujudkan adalah bagi urusan jual beli kereta yang mana common law akan mengandaikan pihak-pihak berniat untuk terikat di bawah kontrak dan tidak ada fakta kes lain yang membuktikan sebaliknya.

    Kesimpulan
    Berdasarkan kepada penelitian yang telah dibuat, terdapat beberapa kemungkinan atau peluang untuk Ali dan Ahmad membentuk suatu hubungan kontrak. Walaubagaimana pun semua peluang itu tidak  digunakan untuk membentuk suatu ikatan kontrak yang sah akibat 1) Penerimaan bersyarat terhadap tawaran asal 2) Penolakan terhadap tawaran balas 3) Penerimaan terhadap tawaran  asal yang telah tamat. Oleh itu kontrak tidak pernah wujud dan Ali tidak terikat untuk menjual kereta tersebut kepada Ahmad.



    No comments:

    Post a Comment