Thursday 17 March 2011

Sejarah Perundangan Malaysia

Perundangan Kaum Asli
Adalah dipercayai manusia telah menduduki Tanah Melayu antara 3000 – 2000 sebelum Masihi. Sejak itu banyak kaum telah mula berhijrah ke Tanah Melayu samada orang Negrito, Senoi dan Melayu Proto. Kesemuanya datang dengan membawa dan mengamalkan adat resam dan kepercayaan animisma masing-masing.

Perundangan Zaman Kesultanan Melaka
Kewujudan Empayar Kesultanan Melaka yang dicetuskan oleh Parameswara di abad ke 15 memantapkan lagi undang-undang adat. Ketika itu, ianya lebih kepada adat resam orang Hindu. Ketika kebangkitan Islam, undang-undang adat ini tetap terus diamalkan tetapi undang-undang ini mula dipengaruhi oleh undang-undang Islam. Undang-undang yang berkuatkuasa di Melaka ialah Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka yang mana berasaskan adat Temenggung yang dipengaruhi undang-undang Islam Mazhab Syafie. Pengaruh Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka ini juga boleh lihat jelas dalam Hukum Kanun Pahang (1596), Undang-undang Kedah (1605), Undang-undang Johor (1789) dan Undang-undang 99 Perak (1878). Semua undang-undang ini juga menjadi bukti bahawa wujudnya peruntukan undang-undang Islam yang dijalankan di Tanah Melayu.

Perundangan Zaman Penjajahan Portugis & Belanda
Bila Melaka jatuh kepada Portugis (1511) dan Belanda, penduduk tempatan tetap mengamalkan Undang-undang Adat yang pengaruhi oleh undang-undang Islam. Boleh dikatakan Undang-undang Portugis dan Belanda hanya memberi impak kepada struktur politik dan pentadbiran. Perkembangan Undang-undang Islam di Tanah Melayu turut sedikit terbantut akibat Penjajahan Portugis dan Belanda.

Perundangan Zaman Penjajahan Inggeris
Pada tahun 1786, Pulau Pinang jatuh ke tangan Inggeris melalui Perjanjian Pangkor. Bagaimanapun ketika ini, undang-undang Inggeris tidak terus berkuatkuasa secara formal di Pulau Pinang. Ini dibuktikan dalam kes pembunuhan oleh James Sudds yang dituduh membunuh tetapi telah dibebaskan oleh Mahkamah Agung Calcutta atas alasan Pulau Pinang tidak berada dalam bidang kuasanya. Manakala untuk pentadbiran keadilan penduduk bumiputera, undang-undang adat yang dipengaruhi Islam tetap diteruskan tetapi ditambah/ubah atas pengaruh pemerintah Inggeris.

Pembentukan Piagam Keadilan Diraja Pertama (Royal Charter of Justice) pada tahun 1807 memberikan Syarikat Hindia Timur Inggeris hak daripada Kerajaan Diraja British untuk mengadakan mahkamah yang dikenali sebagai Mahkamah Keadilan Pulau Pinang (Court of Judicature of the Prince of Wales Island) dan ianya menjadi peristiwa penting kerana menjadi penanda bermulanya undang2 bertulis Inggeris yang pertama. Diputuskan dalam kes Kamoo lwn Thomas Turner Bassett bahawa Piagam 1807 ini telah melanjutkan bukan sahaja undang-undang jenayah Inggeris ke Pulau Pinang tetapi termasuk juga undang-undang sivil Inggeris. Piagam ini diikuti oleh pembentukan Piagam Kedua dan Piagam Ketiga yang mana bidang kuasanya meliputi Negeri-Negeri Selat (Pulau Pinang, Melaka dan Singapura).

Walau bagaimanapun hakim-hakim Inggeris yang bertugas di Tanah Melayu ketika itu tidak menafikan kedudukan undang-undang asal yang dilaksanakan. Contohnya dalam satu kes iaitu kes Rahmah v. Laton yang diputuskan pada tahun 1927. Kes ini melibatkan pertikaian antara dua orang isteri terhadap harta sepencarian yang ditinggalkan oleh suaminya selepas suami meninggal. Dalam penghakimannya, mahkamah telah memutuskan bahawa Undang-undang Islam bukanlah undang-undang asing tetapi ia merupakan undang-undang asal yang wujud dan diterima pakai serta dilaksanakan di Tanah Melayu.

Undang-undang Inggeris ini seterusnya diperkenalkan ke Negeri Melayu Bersekutu melalui Enakmen Undang-undang Sivil 1937, Sabah melalui Ordinan Undang-undang Sivil 1938 dan Negeri Melayu Tidak Bersekutu melalui Enakmen Undang2 Sivil 1951 dan akhirnya keseluruhan Persekutuan Tanah Melayu melalui Akta Undang2 Sivil 1956.

Perundangan Zaman Kemerdekaan
Selepas Merdeka, Perlembagaan Persekutuan menjadi sumber undang-undang tertinggi Malaysia, diikuti oleh Akta, Enakmen, Ordinan dan Perundangan Subsidiari. Pemakaian undang-undang Inggeris adalah berdasarkan kepada Akta Undang-undang Sivil 1956 dimana Malaysia Barat memakai Common Law dan Ekuiti seperti yang ditadbir di England pada tahun 1956. Sabah memakai Common Law, Ekuiti dan juga Statut seperti yang ditadbir di England pada 1951 dan Sarawak memakai Common Law, Ekuiti dan juga Statut seperti yang ditadbir di England pada 1949.

No comments:

Post a Comment